Friday, December 2, 2011

Pandangan Seorang Muslim Terhadap Seksualiti Merdeka

Sebagai seorang Muslim, jika saya hendak menggunakan masa dan khudrat saya untuk memprotes sesuatu, pertamanya ia adalah terhadap rasuah, kedua, penderaan seksual kanak-kanak, dan ketiga, suami yang berpoligami atas nama agama namun melalaikan tanggungjawabnya terhadap isteri-isteri dan anak-anak.Saya tidak akan membazirkan masa dan tenaga untuk membangkang suatu aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh sekumpulan pihak yang memang telah terpinggir dan didiskriminasikan oleh masyarakat.

Saya rasa ada banyak prasangka negatif yang telah wujud berkenaan aktiviti Seksualiti Merdeka. Pada sesiapa yan membangkang dan memprotes, pernahkan mereka pergi melihat apakah forum Seksualiti Merdeka ini?Saya pernah menghadiri Seksualiti Merdeka pada tahun 2008 dan aktivitinya agak menarik – seni, muzik, dan ceramah-ceramah yang membuat kita bermuhasabah (refleksi diri). Salah satu ceramah yang menarik adalah daripada ahli sejarah Dr. Farish Noor berkenaan dengan Hikayat Panji Semerang, sebuah lagenda tentang seorang puteri Indonesia-Melayu yang amat berani dan menyamar sebagai pahlawan lelaki, seperti cerita Mulan, hero wanita Cina.Mungkin mereka yang membantah keliru dengan perkataan Seksualiti. Seksualiti bukanlah Seks. Setiap individu mempunyai seksualiti – sama ada homoseks, biseksual, transeksual, interseksual, ataupun heteroseksual (yang bererti tarikan terhadap jantina bertentangan).

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa seksualiti itu bukan sesuatu yang dipilih, seperti kita memilih pakaian ataupun citarasa, tetapi adalah naluri kita, yakni, sesuatu yang mendalam dalam diri kita.Seksualiti Merdeka bukannya Seks Merdeka. Ia tidak ada kaitan langsung dengan seks bebas. Pada hemat saya, ia sebenarnya meraikan konsep ”kita berbagai-bagi, tapi kita satu” – sama seperti 1Malaysia. Tiada sesiapa yang harus didiskriminasi, diganggu atau disisihkan berdasarkan gender, kaum, agama atau orientasi gender dan seksual mereka.Namun, jika kita tidak bersetuju dengan perhubungan homoseks, kita tidak perlu menyokongnya. Ia sama seperti kita tidak perlu ke nightclub ataupun minum arak kerana setakat ini perkara-perkara ini tidak diharamkan di negara kita.

Dan walaupun kita tidak bersetuju dengan hubungan homoseksual, kita tidak dapat menafikan bahawa golongan gay, lesbian, transgender, transeksual dan intersex adalah sebahagian daripada masyarakat kita dan mereka juga adalah insan ciptaan Allah.Mereka mungkin adalah peguam, doktor, jurutera, petani, cikgu, pelajar dan ahli politik kita, malah mungkin abang, adik, kakak dan saudara kita sendiri. Kita mungkin cam seseorang lelaki lembut sebagai homoseks walaupun bukan semua lelaki lembut adalah homoseks. Saya mempunyai beberapa kenalan yang merupakan lelaki lembut – seorang memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran kewangan kerajaan, seorang lagi sarjana PhD dan seorang lagi aktivis yang berusaha membantu golongan yang menghidapi kanserApakah yang akan berlaku kepada negara kita tanpa mereka?

Di Malaysia, kita hidup di dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama, agak menyerupai Madina, di mana Nabi Muhammad s.a.w. pernah hidup. Dengan mengikuti jejak Nabi Muhammad s.a.w., kita belajar untuk menerima dan menghormati perbezaan antara satu sama lain. Ini merupakan salah satu sunah Nabi.Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja merupakan seorang pemimpin untuk umat Islam, namun untuk sesetengah golongan bukan Islam seperti Yahudi, Kristian, dan golongan jahiliah di Madina.

Baginda tidak membangkang atau melarang cara kehidupan atau kepercayaan manusia lain. Setiap manusia dibenarkan untuk mengamalkan cara hidup dan kepercayaan masing-masing selagi keamanan sejagat tidak diganggu.Forum Seksualiti Merdeka ini, pada diri saya, tidak bercanggah dengan kepercayaan saya sebagai Islam. Sebaliknya, ia mengukuhkannya. Seperti yang tercatat di dalam Al-Quran:Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Al- Fatir 35:27-28)

Agama Islam mengajar kita bahawa kepelbagaian adalah fitrrah dan hakikat sifat ciptaan Allah. Kita diwujudkan secara berbeza dan pelbagai supaya kita mengetahui dan menghormati antara satu sama lain. Mengikut ayat A-Fatir 35:27-28, saya rasa interpretasi perkataan “warna” bukan sahaja merujuk kepada “warna benda”, ia juga merujuk kepada rupa, sifat, dan kebolehan kita.

Allah berkata bahawa tiada masalah untuk Dia mewujudkan hanya satu Umat, maksudnya, insan yang serupa dari segi agama, kepercayaan, naluri dan lain-lain lagi.Namun Dia tidak berbuat demikian kerana Allah hendak menguji ketakwaan kita terhadap Nya. Apakah kita menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai mulia seperti toleransi, hormat, kasih sayang dan belas kasihan kita untuk menerima segala ciptaan dan anugerah Allah?“Untuk setiap umat di antara kamu, Kami berikan peraturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikanNya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kamu akan kembali semuanya, lalu diberitahukanNya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu” (Al-Ma’idah 5:48)

Ketika kita meraikan Hari Raya Qurban, kita perlu menyelami maksud yang lebih mendalam tentang erti pengorbanan. Bagi saya, ia menolong kita menghayati erti kehidupan, betapa berharganya nyawa yang diberikanNya kepada kita dan juga alam ciptaanNya. Ia juga membantu kita mendalami erti pengorbanan serta amalan bersedekah kepada orang-orang yang miskin dan papa kedana.Mungkin golongan lain tidak dapat memahami amalan yang suci ini. Di Barat, umat Islam mungkin tidak dapat mengorbankan lembu, kambing atau biri-biri untuk memperingati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim terhadap Allah. Ada yang akan menuduh amalan kita kejam terhadap binatang tanpa memahami maksud yang lebih mendalam.

Namun Alhamdullilah, saya tidah pernah dengar pihak yang melarang hak orang Islam untuk meraikan Hari Raya Eidul Adha.Saya berharap kita dapat mengamalkan sikap toleransi kepada golongan yang dipandang bawah dan dipinggirkan oleh masyarakat. Kita sebagai Islam bertanggung-jawab mengamalkan Jihad yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah -- Jihad untuk mengatasi kejahatan dalam diri kita, Jihad untuk bermuhasabah, Jihad untuk tidak mengadili dan menghukum orang lain, dan Jihad untuk mempunyai sifat hormat-menghormati dan kasih-sayang.Kerana siapakah kita, manusia kerdil untuk mengadili orang lain apabila Pangadilan Terakhir terletak pada Allah?

Mualaf, Kuala LumpurNovember 2011

No comments: